Oleh: KAMARI KASAN
Presiden
Pengaturcaraan Komuniti Aman dan Selamat (PERKASA)
Merangkap Presiden PERKASA (Chapter) FELDA
Saya adalah anak FELDA dan membesar dalam sebuah keluarga yang miskin dengan serba-serbi terabai. Keluarga kami bagai tersisih dari masyarakat dan segala peluang untuk hidup, apa lagi untuk bersaing sentiasa diketepikan oleh suasana dan keadaan.
Pelbagai peluang yang muncul sentiasa dirampas dengan ganas oleh keadaan manusia waktu itu. Kehilangan ayah sebagai dahan tempat bergantung memulai babak kepinggiran keluarga kami disutu sudut belantara dalam wilayah negara bertuah ini. Jauh dari kemudahan, apa lagi dari masyarakat dan pelbagai kebahagiaan. Kami bertemankan sepi dan ngeri di kala malam dengan siang diekori oleh kebuntuan untuk mencari makanan apa bagi hari petang dan malam. Istilah kais pagi makan pagi kepada kami masih terlalu beruntung kerana masih ada lagi yang boleh dikais, tetapi kami berkejaran mencari tapak dataran untuk dikais dengan segala penyakit, tekanan perasaan, penghinaan, dan kelaparan.
Sebagai anak peneroka, saya belajar erti perlindungan, erti kemudahan, erti keteraturan dalam hidup dan erti ada yang masih simpati. Setiap kais kami akan menjanjikan hasil dan tidak menghampakan melainkan jika kami malas, bersikap negatif, berlengah-lengah, tidak cekap dan yang terpenting tidak tahu membalas budi serta yang teramat penting ”mengenang budi” (kerana ini tidak ada pada haiwan kecuali pada manusia; meskipun haiwan terbaik dalam membalas budi dan kadang kala berbudi).
Di Felda, kami diberikan hutan belantara juga dan keadaannya jauh tidak berbeza dengan semasa saya dan keluarga sebelum menyertai Felda. Cuma kali ini hutan itu akan kami tebang beramai-ramai, tidak seperti dulu keluarga kami mampu menumbangkan pepohon yang mudah kalah sahaja dan menanam tanaman untuk makanan sara diri sementara jaminan untuk menjadikan tanaman itu seumpama bank simpanan tidak pernah terimpikan. Kali ini kami mebina rumah dengan kayu-kayu bercatkan minyak hitam dan ’sangat wangi’ pada perasaan saya meskipun ia adalah minyak hitam (engine oil) iaitu sisa minyak keenderaan untuk membolehkan kayu tidak mudah reput dimakan anai-anai dan lainnya. Ketika itu kami hidup dengan kepanasan, debu dan kemarau serta didatangi petir hujan dan ribut yang menjadikan dataran desa kami ’lecah-bubur’ dan kegelapan malam serta siulan cengkerik begitu merdu mengiringi giliran masa yang datang dan pergi, silih berganti. Semuanya itu berlaku dan bergerak seiring masa yang kuat dengan azam bahawa sang fajar pasti muncul di bumi yang sarat dengan permata ini.
Kini ayah dan ibu kami disebut sebagai peneroka dan penerokawati. Mereka meredah hutan dan kami melecahkan jalan. Mereka menumbangkan pepohon dan kami membakar serta menuggal-buminya. Mereka meniupkan impian mereka dan kami mengejutkan malam dengan subuh yang bukan mimpi lagi tetapi adalah kenyataan bagi membolehkan perjalan hari siang itu tidak akan berpanas dan berhujan lagi. Mereka menukar hutan belantara menjadi sesaujananya sebuah taman pertanian mega dunia, dan kami memanjangkan langkah melebarkan wilayah tawanan menjadi seantero glokal. Namun kesemua itu tidak ada jalan mudah dan tidak ada pelbagai subsidi. Felda mendidik dan Felda mengasuh serta Felda memberi laluan dan ruang yang dulunya kami tidak empunyainya.
Saudara, rakan serta sahabatku warga pekerja dan petugas ladang Felda,
Kami mendengar jeritan dan kepiluan serba kepahitan atau kesukaran dan penderitaan anda. Kami amat simpati dan kami sentiasa mendoakan agar suatu hari nanti keluhan dan kebimgungan yang mendatangi hidup ini akan bertukar menjadi kegembiraan, persepakatan dan keharmonian bapa diri, keluarga dan keturunan kelak. Amin.
Keluarga Felda seperti kami memang beruntung dari semua rakyat Malaysia. Namun keuntungan kami itu berlaku dalam jarak masa yang tidak mudah dan tidak pendek. Ia bermula dari pengorbanan ramai peneroka dan penerokawati di Bukit Tembaga Kedah yang menebang belantara dan berdepan dengan malaria, komunis, dan pelbagai bencana. Tidak kurang dari 50 orang yang terkorban di sana dan tidak kurang lagi ratusan lain yang turut terkorban seluruh negara dalam masa menenggala-diri dan ladang mereka untuk menjadi pintu rezeki. Itupun bukan kekal dan abadi tetapi sementara dan pada bila-bila masa boleh menghadiahkan satu bencana yang memilukan jika tida dipelihara secara muafakat dan berjemaah (bersama Felda). Jika pun ada kalangan kami yang berkata ia mampu melakukan secara sendirian, maka ia munkin berkata pada semalam dan hari ini. Namun ia belum tentu dapat menjaminkan untuk esok dan jutaan hari lagi yang belum tiba. Sihat boleh bertukar menjadi sakit, senang juga boleh bertukar dan begitu juga keadaan kini. Pada bila-bila masa dan dalam keadaan yang bagaimanapun bentuk pertukarannya, selagi kita bersatu dan berkerjasama maka kita akan dapat meringankan segala penderitaan dan cabaran sebesar mana sekalipun. Pada saya, biarlah sesat sejauh manapun tetapi kalau dah jumpa penghujung dan tidak tahu lagi untuk kemana kerana yang menunggu hanyalah kekecewaan; maka tidak mengapa untuk melangkah kepangkal jalan. Ia suatu yang normal dan fitrah.
Saya ingin memaklumkan bahawa pekerja ladang adalah suatu penghormatan dalam suatu sekim perkhidmatan yang dipelihara kedaulatan diri setiap satu diri dan warganya. Kementerian tertentu akan memantau bagaimana Felda boleh memberikan hak serta kedudukan seseorang dalam sekim perkhidmatan berkenaan. Berbanding sebagai peneroka, warga Felda seperti itu bukanlah merupakan suatu kehidupan yang mempunyai sesuatu sekim perkhidmatan yang terjamin melainkan kami bersatu dan mempercayai cara hidup bersatu itu, biar bagaimana pahitnya sekalipun. Saya ingin menyatakan bahawa biarpun kami mempunyai rumah dan tanah tetapi mereka membayarnya secara sedikit dan hidup berikat perut untuk tempuh masa yang sangat panjang. Mereka telah menggunakan semua kudrat dan tenaga untuk bersama-sama Felda bagi menukarkan semua itu kepada pembinaan jalan raya, pembinaan masjid, pembinaan parit sdan longkang dan semua kemudahan yang ada dalam rancangan Felda yang mereka bina mengunakan wang dari titik peluh mereka. Apa lagi sejak 1986 (kalau saya tidak silap) di mana kerajaan pusat tidak lagi membiayai segala kos gaji dan segala kemudahan pembangunan Felda seluruh negara melainkan Felda dan seluruh warga rakyatnya perlu bersatu hati dan sama-sama untuk bekerja kuat mengubah ladang menjadi wang dan dengan wang itulah dilabur semula setiap tahun untuk meneruskan kehidupan dalam pelbagai sudutnya. Kami gembira wujudnya peniaga yang menjadi senang dan kaya dengan menjadi rakan pembekal dan kontraktor kepada Felda.
Hari ini keluarga kami mempunyai rakan pembekal bernama pekerja ladang dan kami turut menyanjungi semua warga ini. Selamat bersama kai. Namun kami mendengar adanya keluhan dan rintihan dan tentulah kami tidak wajar berdiam diri.
Saya menyemak sekim perkhdmatan pekerja ladang ini dan mendapati bahawa pekerja ladang Felda (Felda Plantation khususnya) mempunyai susunan kemudahan danhak yang dimasukkan dalam sekim berkenaan seperti berikut:
- Pekerja dan keluarga mereka berhak di bawah peruntukan peraturan standard-standard minima perumahan dan kemudahan pekerja, yang termaktub dalam akta yang khusus, dan majikan tidak boleh mengabaikannya.
- Di bawah peruntukan tertentu majikan (Felda) membayar elaun perumahan RM 50 sebulan atau RM 1.90 sehari bekerja bagi pekerja yang tidak mempunyai kemudahan perumahan yang disediakan oleh majikan. Di Felda keluarga peneroka memang ada rumah sendiri, tetapi ia tidak percuma. Kami membayar secara bulanan dan kami mengikat perut (susah kerana hasil potongan hanya berbaki beberapa ringgit sahaja dan itu berlaku bukan untuk masa yang sikit tetapi lama pada waktu dahulu). Jika kami mahu membesarkan rumah juga kami perlu membayarnya dan kebanyakan mereka yang mampu ialah mereka yang berjimat cermat atau mereka yang memperolehi hasil dari usaha tambahan dan sumber baru seperti bantuan anak-anak atau sebagainya selepas mengharungi pelbagai kesusahan.
- Kemudahan perubahan juga diberikan dengan 100% percuma denganmendapatkan kemudahan perubatan dari hospital kerajaan. Saya di rancangan Felda juga menggunakan kemudahan kerajaan tetapi pasti perlu membayar segala kos. Kalau kos perubatan sakit luar mungkin tidak membebankan kerana hanya membayar RM 1 sahaja, tetapi jika perubatan bagi ibu bersalin, kos wad, kos ubat dan lainnya atau perubatan dan bagi sesuatu penyakit yang berat termasuk kemalangan; tentulah ada kos yang besar dan kos itu kami perlu menanggung sendiri.
- Bantuan elektrik, saya dimaklumkan bahawa pekerja ladang akan mendapat api letrik percuma jika kawasan berkenaan menggunakan sistem generator sendiri tetapi jika menggunakan khidmat TNB maka Felda akan membayar RM 6.00 sebulan. Warga felda seperti kami tidak mendapat kemudahan tersebut, dan mereka semua perlu membayar malah ada juga kalangan mereka yang kecundang membayar dan terpaksa bergelap kerana kesilapan mereka sendiri.
- Bntuan air paip pula saya difahamkan Felda memberikan bantuan bekalan air bersih 100% jika menggunakan generator-pump dan Felda akan membayar RM 4.00 sebulan jika mendapat bekalan air dari Jabatan Belakan Air. Ini juga tidak dinikmati oleh kami dalam rancangan Felda.
- Pengangkutan ke Sekolah pula adalah diatas bebanan sendiri setiap keluarga dalam rancangan Felda tetapi untuk anak pekerja ladang mereka mendapat bekalan pengangkutan percuma. Jika kami terpaksa membayar sebulan RM 40 sebulan dan adik beradik kami adalah 5 orang, maka ibu bapa kami mesti berbelanja tidk kurang RM 250.00 untuk bus sahaja belum aspek yang lainnya. Tentulah apa yang tersedia kepada anak-anak keluarga ladang itu sudah wajar dinikmati dan disyukuri. Alhamdulilah.
- Setiap tahun semasa alam persekolahan bermula, kami di rancangan Felda perlu menyediakan wang yang amat banyak untuk membeli pakaian, beg sekolah dan baju serta lainnya. Sebaliknya anak pekerja ladang Felda mendapat pembiayaan tahunan sebanyak RM 100.00 bagi seorang anak sekolah rendah dan RM 150.00 bagi seorang anak di sekolah menengah. Jika kami mempunyai 5 adik beradik disekolah menengah maka ibu bapa kami perlu membayar sebanyak RM750.00 dan itu bukan sautu jumlah yang sedikit.
- Keluarga pekerja ladang juga menikmati kemudahan TADIKA percuma serta TABIKA (taman bimbingan) bagi ibu yang bekerja. Kami tidak mempunyai kemudahan tersebut dan kepada kami tetap ada kos yang perlu disediakan bagi membiayai perkhidmatan tersebut.
- Kemudahan lainnya, seperti masjid, surau, balai orang ramai, dan sebagainya yang tersedia dirancangan Felda adalah merupakan kos yang peneroka bayar dan pendapatan serta hasil kebun mereka itu digunakan untuk membaik pulih dan membina segala kos berkenaan. Semua kos itu akan dipotong terus dalam hasil peneroka atau diambil dari keseluruhan keuntungan tahunan kumpulan Felda untuk membiayai kos berkenaan. Ini juga sautu yang tidak mungkin didapati dalam kawasan estate atau ladang swasta berbanding di ladng Felda.
- Pendapatan bulanan bagi pekerja ladang juga adalah suatu ikatan yang tentulah menjaminkan kepada kita yang sentiasa mahu mencari rezeki yang halal dan sedia melakukan kerja bersungguh-sungguh untuk pendapatan yang berkat, kesihatan yang bertambah, motivasi diri yang lebih bersepadu. Pendapatan RM 800 sebulan secara puratanya adalah suatu koleksi yang amat baik dan begitu terjamin kepada kehidupan di kawasan rancangan Felda. Ianya adalah merupakan bayaran bagi kadar asas dan tidak termasuk bayaran insentif (kualiti dan kuantiti hasil kerja) dan bonus kehadiran. Hari ini mahasiswa Universiti keluar dengan Ijazah tetapi bekerja dengan gaji sebulan RM 800; sedang mereka berdepan dengan minyak motor, sewa rumah, api-air dan sebagainya yang tidak wujud bagi pekerja ladang Felda. Jika menilai pihak lain yang jauh lebih tidak bernasib baik, tentulah kita akan dapat memahami betapa nasib baik nya kita kini. Bermulalah dengan sedikit kesyukuran dan insyaAllah akan bertambah nikmat serta keberkatan . kelak kita menemui kesyukuran yang lebih besar dan berganda lagi. Amin.
- Satu lagi sekim bantuan perumahan bagi pekerja ladang tempatan. Di maklumkan bahawa Felda memberi bantuan untuk sesiapa yang bersara atau berhenti dengan kelayakan tertentu untuk mendapat bantuan wang pendahuluan wang tunai bagi memiliki rumah sendiri. Di samping itu juga Felda menyediakan RM 100 sebulan simpanan untuk membolehkan pekerja berkenaan mengeluarkannya untuk tujuan membeli rumah sendiri selepas tamat berkhidmat di Felda atau masa pencen nanti. Di tanah rancangan , kami akan membina rumah dengan kos sendiri dan kami perlu menyimpan serta melakukan sesuatu untuk membolehkan bangunan asal kepenerokaan kami itu dapat ditukar kepada yang lebih baik.
- Pekerja ladang ketempat kerja juga disediakan kemudahan pengangkuan secara percuma atau jika mereka menggunakan motorsikal sendiri sejumlah RM 78.00 sebulan akan dibayar atau RM 3.00 sehari bekerja akan diberikan. Bagi merekayang berjawatan sebagai mandor akan mendapat elaun keenderaan sebanyak RM 100.00 sebulan atau RM 3.85 sehari bekerja.
- Peralatan pekerjaan juga diberikan secara percuma dan tidak perlu bermodal lagi. Felda juga menyediakan Personal Protective Equipment (PPE) untuk kemudahan pekerjanya dan kika berlakunya kematian di kalangan pekerjanya, keluarga pekerja akan mendapat bantuan urus jenazah sebanyak RM 1,000.00 kepada waris. Lain-lain kemudahan seperti cuti dan sebagainya menurut kehendak akta pekerja 1955 dan lainnya seperti SOCSO/PERKESO dan sebagainya.
Terlalu banyak perbezaannya antara pekerja ladang dan komuniti Felda yang tidak mempunyai segala kemudahan yang saya temui di atas. Namun begitu tidak dapat dinafikan bahawa masalah sentiasa berlaku di mana-mana jua. Namun usaha muafakat dan sama-sama berbincang pasti akan menemukan jalan keluar yang terbaik kerana itulah juga formula kejayaan Felda dan Peneroka selama ini.
Sya sebagai anak Felda tidak sahaja mengumpul pengalaman manis dan jasa murni oleh Felda tetapi juga menyimpan pengalaman amat pahit yang sukar dilupakan bersama Felda. Namun itu semua bukanlah merupakan angkara Organisasi bernama Felda. Manusia ada mempunyai pelbagai ragamnya dan pelbagai ragam ini menimbulkan masalahnya kepada kita. Namun jika kita gunakan semua saluran dalam Felda sendiri pasti banyak masalah akan dapat diselesaikan. Oleh itu kerajaan menubuhkan majlis perundingan antara Felda dan peneroka agar masalah tidak diselesaikan diluar muafakat dan itulah menjanjikan kejayaan Felda hari ini. Mutakhir ini saya lihat begitu banyak minat generasi Felda membawa kes dan masalah Felda ke kamar mahkamah. Ia mungkin satu yang elok, namun ia pasti mencederakan banyak sudut dan membuka begitu banyak rahsia kepada umum yang sentiasa menunggu masa untuk merosakkan payung Felda yang melindungi umat bagsa dan rakyat miskin selama ini. Saya menyeru mereka menggunakan saluran Jawatankuasa Timbang Tara yang boleh diwujudkan dibawah kuasa Menteri Felda.
Akhirnya, saya menyusun jari sepuluh (MEMOHON MAAF) mewakili rakan dan seluruh ahli PERKASA dan Felda jika tulisan ini tidak menambah jalan kepada perdamaian. Saya ikhlas dan penuh jujur mengharapkan agar marilah kita bermuafakat dan marilah kita gunakan saluran media yang ada untuk menerjah bersama media itu menuju kepada kejayaan baru yang lebih menguntungkan bersama.
Wasallam.
KAMARI KASAN