Thursday, May 29, 2008

Krisis Modal Insan Kini

IBU BAPA - kini sedang menanggung beban kegelisahan berkenaan munculnya suatu krisis tatalaku keatas lembaga diri anak zaman globalisasi. Kata bicara, perlakuan, sembah santun, ketekunan, semangat dan ketabahan, kesanggupan memikul amanah dan keyakinan diri, hatta sampai kepada jati diri terhadap ibu bapa malah diri sendiri, semuanya amat membimbangkan.

KAUM IBU/WANITA - mereka pula (dengan tidak disedari) terpaksa mengumpul semua kebimbangan masa kini memandangkan mereka adalah ibu dan bahawa syurga itu di bawah tapak kaki mereka; maka demikian itu segala bebanan akhlak dan usaha mendidik anak adalah terbeban keatas bahu mereka.

PELAJAR - di kalangan pelajar yang mahu berjaya dan mahu terus maju pula berdepan dengan serba gangguan yang merentasi waktu, masa dan benteng moral serta keperibadian; yang jika tidak diamati serta disusun secara tertib dan berhati-hati tindakan menanganinya semakin mudah terabai dan bakal mengundang bencana besar kepada nilai moral diri mereka.

GURU DAN PENDIDIK - pula memikul bebanan dan ‘tudingan-jari’ dari segenap penjuru; bahawa segala kegelisahan yang sedang melanda kini adalah hasil produk Institusi Pendidikan mereka. Tanpa disedari tiba-tiba guru yang tertekan dengan keputusan akademik serta lain-lain bebanan pengurusan serta tertekan dengan pelbagai kekangan dalam melakukan usaha perubahan;turut tidak dapat melarikan diri mereka dari menjadi sasaran kepada setiap kegelisahan umah yang terus melanda. Tidak sedikit guru yang mengalami trauma jiwa yang amat dalam dan bukan kecil bilangan mereka yang ‘tenggelam dalam suasana’ oleh gelagat pelajar yang kompleks, serangan kata-kata masyarakat dan ibu bapa.

PENGETUA DAN GURU BESAR - kini imej seorang bernama Guru Besar atau Pengetua bukan lagi sebuah idol dan kebanggaan; sebaliknya bertukar kepada personality seorang yang sentiasa terbeban kepada seluruh kebejatan moral anak-anak didik. Samada di dalam sekolah hatta di luar sekolah, instrumen kependidikan mereka tidak dapat berfungsi secara berkesan berikutan terjelmanya pelbagai ‘guru-baru’ dalam sistem sosial yang amat ‘dibiarkan’ oleh pelbagai Institusi Sosial sampailah kepada Institusi Sosial bernama keluarga.

PIMPINAN PIBG - pada mereka juga sentiasa dihujani dengan pelbagai soalan sedangkan mereka dipilih dari kalangan minoriti ibu-bapa yang sedar dan sanggup hadir dalam mesyuarat agung pemilihan tahunan; sedangkan kerja mereka adalah suatu tugas sukarela dan mereka juga terbeban dengan kekangan gelora yang melanda seluruh isi keluarga mereka sendiri (sama seperti orang lain).